Semalam, lapan atlet senior negara mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Asrama Casa 1 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Pertemuan itu untuk membincangkan kebimbangan mereka mengenai keadaan semasa olahraga yang dilihat bukan saja semakin merosot, malah gagal menarik minat lebih ramai atlet baru.
Pada ketika ada isu lebih besar perlu diberi tumpuan, mereka terkejut bagaimana Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) boleh tampil dengan rancangan untuk memindahkan kem latihan ke Ranau, tindakan yang bukan saja menelan kos yang tinggi (RM3 juta), malah dianggap sebagai tidak relevan.
Ratu 400 meter lari berpagar, Noraseela Khalid mengetuai lapan atlet senior yang mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Ahmad Shabery.
Turut hadir jaguh lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu, bintang lompat tinggi, Lee Hup Wei, bintang 110m lari berpagar, Robani Hassan, P. Yuvaraaj (400m), M. Vadivellan (800m), Lo Choon Sieng (jalan kaki) dan Tan Song Hwa, pemegang rekod baling tukul besi wanita.
"Hari ini, atlet meluahkan pandangan mereka mengenai sistem latihan kita, terutama KOAM. Kami prihatin dengan perkembangan olahraga yang semakin merosot. Dulu kita boleh memenangi 15 atau 16 pingat emas pada Sukan SEA tetapi di temasya terbaru (Laos 2009) kita hanya meraih enam emas.
"Pada Sukan Asia tahun lalu (Guangzhou, China) kita gagal membawa pulang sebarang pingat. Bilangan atlet olahraga juga semakin merosot, tidak ramai yang memilih untuk menyertai olahraga, malah dalam kejohanan tempatan tidak ramai yang masuk bertanding,'' kata Ahmad Shabery.
Menurut Ahmad Shabery, beliau dapat memahami kekecewaan yang dirasai oleh atlet, yang bukan saja tidak mendapat sistem latihan terbaik, malah pada masa yang sama melihat tiada pertumbuhan berlaku dalam sukan olahraga tempatan.
Susulan pertemuannya dengan lapan atlet senior semalam, beliau akan mengadakan perbincangan hati ke hati dengan jurulatih olahraga kebangsaan, sebelum bertemu Presiden KOAM dalam masa terdekat.
Mengenai rancangan KOAM untuk memindahkan kem latihan Sukan SEA ke Ranau, Ahmad Shabery menegaskan, perkara tersebut perlu diperhalusi kerana selain melibatkan isu kos, ia turut tidak relevan bagi sesetengah atlet, terutama yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
"Atlet tidak kata mereka menolak cadangan berlatih ke Ranau, cuma menganggap ia tidak sesuai terutama bagi yang masih menuntut. Lagipun ia melibatkan kos. Kalau libatkan dana MSN (Majlis Sukan Negara) kita kena tengok dulu keadaan di sana,'' kata Ahmad Shabery.
SUMBER : UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment